- Adakah memancing ikan di kolam berbayar dibolehkan di dalam Islam dan tidak dianggap seperti berjudi?
Jawapan: Memancing ikan di kolam berbayar adalah diharuskan di dalam Islam. Hal ini adalah kerana pemancing berkenaaan telah diberi keizinan oleh tuan empunya kolam berdasarkan kepada bayaran tertentu. Bayaran yang dikenakan hanyalah gantian kos modal dan penyelenggaraan kolam ikan berkenaan dan ia tidak boleh dianggap sebagai berjudi.
- Bolehkah akikah disekalikan dengan ibadat korban?
Jawapan: Akikah ialah menyembelih binatang ternakan yang dilakukan selepas daripada kelahiran seseorang anak sebagai manifestasi kesyukuran kepada Allah SWT. Hukumnya adalah sunat muakkad. Manakala ibadat korban pula ialah menyembelih binatang ternakan yang dilakukan pada hari raya korban (10 Zulhijjah) sehingga 11, 12, 13 hari bulan Zulhijjah. Untuk seekor kambing memadai dengan satu niat ibadat sahaja. Ini bermakna seekor kambing tidak boleh diniatkan akikah dan korban sekali gus. Tetapi seekor lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian dan setiap bahagian boleh diniatkan dengan pelbagai niat sama ada niat untuk akikah, korban, sedekah, hadiah atau nazar atau untuk dijual.
- Apakah hukumnya ibu bapa dan adik-beradik yang mengambil keputusan menerima anak yang mengandung anak luar nikah?
Jawapan: Seseorang perempuan yang mengandung anak luar nikah masih menjadi anak kepada ibu bapa dan menjadi anggota kekeluargaannya. Hubungan kekeluargaan tidak akan putus selama-lamanya. Oleh itu, ibi bapa dan keluarga perlulah menerima hakikat bahawa perbuatan zina adalah dosa besar yang sekiranya ia bertaubat dengan taubat nasuha maka Allah akan mengampunkannya. Ibu bapa dan keluarganya hendaklah menerima anak tersebut dengan seadanya, terus mendidik dan menjaga anak dan keturunan mereka dengan baik. Sokongan kasih sayang dan pendidikan kerohanian yang mantap memberi kekuatan kepada si anak agar menjadikan sejarah hitam tersebut sebagai iktibar dan lebih berhati-hati dalam meneruskan kehidupan
- Apakah hukumnya memasak dan memakan ikan yang tidak dibuang isi perutnya terlebih dahulu tetapi isi perutnya tidaklah dimakan. Contohnya, ada kedai makan di mana ikan yang ditangkap terus dibakar tanpa membuang isi perutnya dan dihidangkan kepada pelanggan?
Jawapan: Haram memakan ikan yang tidak dibuang najis(darah dan kekotoran yang tidak diberdihkan) di dalam perut ikan tersebut kerana ia akan mengakibatkan najis tersebut meresap kepada isi ikan.
- Ketika berwuduk dengan air mengalir(daripada paip), air basuhan muka saya menitis ke tangan yang sedang dibasuh. Begitu juga ketika membasuh kaki, air sapuan kepala atau basuhan muka dan tangan menitis ke kaki saya bersama air yang sedang mengalir untuk berwuduk. Adakah wuduk saya sah atau adakah saya perlu menghalang air basuhan muka atau anggota lain daripada menitis ke anggota lain daripada menitis ke anggota yang sedang dibasuh untuk memastikan wuduk saya sah?
Jawapan: Sah wuduk yang dilakukan dan air yang menitik dan tidak dianggap sebagai musta'mal. Dalam situasi ini, anda dinasihatkan tidak berasa was-was terhadap wuduk yang telah dilakukan.
Sumber: Bahagian Dakwah Jakim( Pembimbing Remaja Cemerlang Cahaya)
Selamat Membaca.
No comments:
Post a Comment